Wednesday, September 15, 2010

Perancangan strategik dalam pengurusan sumber manusia

Perancangan strategik perlu digunakan dalam pengurusan perkara-perkara seperti berikut:
  1. Pengambilan pekerja hendaklah mengikut keperluan semasa oleh organisasi atau dalam jangka pendek atau jangka panjang.
    • Ia juga berasaskan kepada kemajuan teknologi dan saingan daripada organisasi-organisasi lain. Globalisasi dan kebolehan sumber tenaga pekerja yang berasal dari negara-negara lain perlu diambilkira.
    • Anda perlu menentukan bilangan dan kualiti, kepakaran, kebolehan dan pengetahuan pekerja yang diperlukan.
  2. Kenaikan pangkat hendaklah diuruskan dengan mengesan pekerja atau eksekutif yang sangat sesuai dengan mengambilkira kemahiran, pengetahuan, keupayaan dan tingkahlakunya. Bagi jawatan eksekutif, kualiti lain seperti kepimpinan adalah berkaitan.
  3. Gaji dan kemudahan-kemudahan adalah diurus untuk menarik bakal pekerja yang berkebolehan, mengekalkan atau meningkatkan motivasi pekerja, dan mempengaruhi mereka untuk kekal dalam perkhidmatan.
    • Setiap kali ada di antara pekerja anda yang meletakkan jawatan, organisasi anda akan kehilangan kepakaran serta pengetahuan.
    • Juga tidak ada jaminan bahawa anda akan dapat cari pengganti yang berkebolehan. Aktiviti pengambilan pekerja memakan masa dan melibatkan kos.
  4. Latihan dan pembangunan perlu diurus berasaskan kepada keperluan pekerja dan organisasi.
    • Ia bertujuan untuk memberi kemahiran kepada pekerja baru agar mereka dapat menjalankan tugas jawatan yang di sandang.
    • Ia juga bertujuan memberi pengetahuan yang lebih mendalam, atau meningkatakan kompentensi pekerja dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mereka.
    • Latihan juga menyediakan pekerja untuk menjalankan tugas yang lebih bertanggungjawab. Ia dapat memajukan kerjaya pekerja selain daripada memberi motivasi kepada mereka.
  5. Pengurusan prestasi pekerja dihubungkaitkan dengan produktiviti pekerja dan juga produktiviti organisasi. Proses pengurusan prestasi perlu disediakan dengan teratur dan dilaksanakan secara sistematik.
    • Penilaian prestasi adalah salah satu daripada langkah-langkah dalam proses pengurusan prestasi. Ia adalah salah satu daripada perkara-perkara yang terpenting.
  6. Perhubungan di antara majikan dan pekerja adalah bertujuan mewujudkan suasana harmoni dalam pekerjaan. Kewujudan suasana demikian memberi keselesaan pekerja untuk melakukan tugas dan tanggungjawab mereka.
    • Perhubungan pekerja juga dipanggil sebagai 'perhubungan perindustrian' yang menunjukkan peranan kesatuan pekerja dalam hubungan di antara pekerja dan majikan.
    • Majikan dan pihak kesatuan pekerja, jika ada, mempunyai tujuan yang sama, iaitu, kejayaan dan keuntungan organisasi. Jika organisasi menjadi muflis atau mengalami kerugian, kedua-dua pihak, pekerja dan majikan, akan rugi.
    • Perkara yang serius seperti disiplin pekerja adalah ditangani dengan tujuan mengekalkan nama baik organisasi sebagai "Employer of Choice." Gunakan cara mengikut proses dan prosidur tertentu dalam penyelesaian isu-isu disiplin.
    • Semua urusan disiplin perlu dikendalikan mengikut prinsip 'Law of Natural Justice' yang boleh difahamkan sebagai prinsip keadilan semulajadi.
  7. Saluran komunikasi yang efektif adalah dilaksanakan secara menyeluruh. Ini dapat membantu dalam pemberian penerangan lebih mendalam mengenai perkara-perkara berkaitan dengan dasar organisasi, hal ehwal pekerja dan segala perancangan organisasi.
    • Salah satu daripada saluran komunikasi adalah Buku Panduan Pekerja. Panduan tersebut akan menerangkan segala dasar organisasi. Ia juga membantu pengurus-pengurus termaksuk Pengurus Sumber Manusia mempertahankan keputusan mereka.
  8. Kemudahan dan keistimewaan lain adalah diberikan dengan tujuan memperkukuhkan nama organisasi sebagai "Employer of Choice".

       Semua perkara ini adalah terkandung dalam fungsi-fungsi Jabatan Sumber Manusia.

Walau bagaimanapun, semua pengurus dan penyelia barisan hadapan juga mempunyai tugas-tugas berbentuk pengurusan sumber manusia.

Mereka mempunyai pekerja bawahan masing-masing yang harus dijaga dan diurus dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment